Pengalaman berharga santuni gelandangan
Kuala Lumpur: Seramai 300 gelandangan di ibu kota menerima bantuan keperluan asas dan makanan pada program U&Me anjuran penuntut tahun akhir Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Program yang dijalankan penuntut jurusan Perhubungan Awam itu mengagihkan pek makanan kepada gelandangan di Medan Tuanku dan Jalan Pudu bersama penyanyi tempatan, Farisha Iris.
Pengarah Projek, Sofiah Elisha Ahmad Husaini berkata, program dijalankan dengan kerjasama Kechara Soup Kitchen (KSK) bagi memberi pendedahan kepada penuntut.
“Menerusi program ini, pelbagai pengalaman berharga diraih antaranya dapat menyumbang tenaga dalam melaksanakan aktiviti seperti memberikan makanan kepada golongan gelandangan, dan mengagihkan makan ke rumah penduduk B40 di kawasan Lembah Klang.
“Selain itu, kami dapat berinteraksi dengan pelbagai latar masyarakat dan belajar cara menyantuni gelandangan ketika proses pengagihan makanan. Kami juga turut dapat belajar daripada pihak sukarelawan Kechara Soup Kitchen berkenaan proses dalam menjalankan aktiviti sukarelawan,”katanya.
Menurutnya, pembabitan dan pendedahan kesedaran tentang kesusahan yang dihadapi ebahagian masyarakat yang lebih memerlukan di luar sana secara tidak langsung dapat membentuk keperibadian dan nilai-nilai murni yang baik.
“Ianya juga dapat melatih penuntut ini untuk mengisi masa terluang dengan melakukan kerja amal yang berfaedah.
Selain itu, dengan adanya program amal seperti ini juga akan mewujudkan masyarakat yang lebih penyayang, harmoni dan bersatu padu, memupuk perpaduan antara masyarakat serta melahirkan masyarakat yang bersikap empati, “katanya.
Katanya, program berkenaan membabitkan 23 penuntut ditaja oleh Hamadaya Sauces, Ruang Lima Tujuh, Diamonis HQ, Gula Cakery dan Faiza Sdn Bhd.
Source: https://www.hmetro.com.my/amp/mutakhir/2023/01/926499/pengalaman-berharga-santuni-gelandangan